Wednesday, May 31

Q&A Session

Satu petang di restoran, sambil menunggu azan maghrib berkumandang...

N: Epul kenapa kau buat semua ni?
E: Maksud kau kenapa aku tulis blog? Sebab sebenarnya blog ni aku gunakan untuk memberikan pendapat aku tentang sekeliling, tentang apa yang berlaku di depan mata aku, sebab  aku nak memberi motivasi dan pengajaran kepada semua termasuk diri aku sendiri, tapi aku silap. Aku hanya menulis kat sini bila aku beremosi.

N: Kenapa kau tulis pasal dia kat blog kau? Kau tak sakit ke?
E: Actually, aku tak dapat meluahkan segalanya kat dia. Jadi aku jadikan medan ini untuk aku ceritakan dan jadikan dia sebuah cerpen dalam hidup aku. Sebagai kenangan. Aku tak dapat memberikan penjelasan pada dia secara berdepan, so aku harap dia dapat baca isi hati aku dalam ni. Ini je cara terakhir untuk aku jelaskan semuanya.

J: Apa lagi yang kau nak jelaskan?
E: Aku tak mintak lebih. Aku cuma tak senang duduk, hati berbolak balik. Aku tak diberikan peluang menjelaskan secara individu. Memang aku sayang kat dia. Tak semua orang tahu apa yang berlaku secara detail. Hanya aku dan dia je yang tahu, orang sekeliling hanya menjadi pemerhati. Orang sekeliling hanya membuat hipotesis dan hipotesis mereka berjaya. Mereka juga meneroka dan menilai sekeliling mereka. Aku tak salahkan dia totally, aku juga salah sebab tak tegas dan ambil mudah perkara macam ni.

A: Cuba kau pendekkan penjelasan kau tu boleh? Aku tak faham.
E: Ok ok. Aku nak jelaskan yang aku nak minta maaf kat dia. Sepatutnya aku berhadapan dengan dia dan meminta maaf secara lelaki atau gentleman tapi aku takde peluang. Aku doakan dibukakan hatinya untuk memaafkan aku. Memang aku salah, sebab aku cerita kat kawan-kawan aku pasal dia. Aku tersedar, sebab aku selalu melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang dan bila dah buat baru menyesal. Aku jugak terlalu emosi, tak dapat mengawal kemarahan dan rasa sedih lalu meletakkan kesalahan semua atas dia. Memang aku bukan seorang lelaki yang gentleman dan aku rasa aku bukan lelaki yang baik untuk dia sebab dah malukan dia. Aku terlalu ego.

N: Kau terlalu obses dengan dia kan?
E: Yes, truly obses. Sifat aku, memang aku tak tahu macam mana nak control benda tu. Memang aku mudah jatuh cinta, mudah sangat sayang, dan susah nak move on bila aku dah start sayang seseorang. Aku tahu sifat tu memakan diri. Dan aku rasa aku tak boleh nak ubah sifat aku yang mak ayah aku didik dari kecik lagi. Cuma dah besar ni pandai pandai la control kan, tapi aku rasa aku belum matang dan aku tak berdaya. Mungkin lepas ni aku akan belajar balik semua ni dan be a better person. Tak guna kita nak ubah sikap orang kalau sikap kita sendiri kita tak ubah ye tak? Cermin diri dulu.

R: Orang kata perempuan ni ibarat tulang rusuk. Bengkok, jika dipaksa untuk tegak atau luruskan akan patah. Kalau kau bengkokkan lagi memang patah jugak. Jadi kau berpada pada la dalam kes ni. Kau tak leh paksa dia, kau juga takleh manjakan dia. Cukup sekadar sederhana macam Rasulullah kita pun cakap, bersederhanalah dalam semua perkara. Termasuk perempuan. Kau dengar tak cakap aku ni?
E: Ya, aku faham. Aku rasa aku terlalu memaksa dan aku terlalu memanjakan dia. Tapi apa boleh buat, benda dah lepas. Aku tak boleh dah nak cantumkan semula tulang yang patah tadi, sebab serpihan kepercayaan dan kejujuran tu dah hilang. Kalau aku cantumkan semuanya sekalipun, pasti ada serpihan yang tercicir.

Z: Kau suka sangat kan ambik risiko? Kau ni dah macam terjun ke dalam mulut buaya.
E: Apa yang aku kenal dia ni, aku tahu dia tak sukakan seorang lelaki yang cepat mengalah. Jadi bila aku rasa aku nak kalah, aku cuba bangkit lagi, aku akan cuba buat dia teruja lagi, akan cuba buat dia tersenyum lagi, dan aku taknak jadi lelaki yang cepat mengalah lagi. Cukuplah sekali dua dulu. Dia tak suka bila aku muka moyok je depan dia. Dia nak aku happy je, aku pun nak dia happy.
Z: Tapi sekarang kesudahannya?
E: Aku anggap takde jodoh je. Kalau dah memang dia jodoh aku pergi mana sekalipun akan tetap balik jugak. Apa yang aku boleh buat sekarang ni hanya berdoa jelah untuk kebahagiaan dia. Jangan putus harapan pada Allah. Ada hikmah semua ni terjadi.
Z: Tula kau degil tiap kali aku ceramah ada je ko nak bidas! Eish!

K: Apa lagi kau nak cakap?
E: *listening to Air Supply - Goodbye*


I don't wanna let you down
Aku tak mahu kau kecewa dengan aku. Aku mahu kau terus teruja dengan aku.
I don't wanna lead you on
Aku tak mampu mengiringi perjalanan kau lagi.
I don't wanna hold you back from where you might belong
Aku tak mahu menahan/menghalang kau dari tempat asalmu
I would rather hurt myself,
Aku rela sakitkan diriku sendiri
Than to ever make you cry
Dari membuat kau menangis
There's nothing left to say but goodbye
Tiada apa lagi yang mampu aku katakan, selamat tinggal.


D: Dah tu lepas ni takde lagi lah cerita kat sini?
E: Entah. Tunggulah aku emosi nanti ada la aku taip lagi. Adios.

Monday, May 29

Hari Pertama

Malam sebelum aku memulakan kerjaya aku, aku berfikir yang bukan-bukan. Bagaimana aku nak hadapi kerja aku? Bagaimana aku nak catch up balik kerja aku yang aku tinggalkan sebulan.

Tapi persoalan yang paling besar timbul dalam kepala otak aku, bagaimana aku nak hadapi dia? Bagaimana aku nak berdepan dengan dia? Boleh ke aku? Kuat kah aku?

Kata orang, jangan terlalu memikirkan masa depan yang belum tentu kau tahu kesudahannya. Jadi aku positifkan diri, layan jiwa semasa dan lupakan masa depan. Kerana ianya belum terjadi atas izin-Nya.

29 May, Isnin, hari aku memulakan kerja aku. Aku disedarkan dari mimpi, aku termimpikan dia. Terkejut aku apabila jam loceng berdering pada jam 7:51 pagi.

"Alamak! Aku sudah terlambat." Kataku sambil menenangkan diri.

Aku tenang. Mandi dengan tenang. Bersiap dengan tenang. Aku mengenakan baju formal syarikat aku dengan logo yang megah terpampang di dada. Aku mengenakan pin tudung si dia di bajuku. Sebagai kenangan.

"Harini aku perlu berdepan dengan masalah aku." Kataku tenang.

Aku pulas punat kuasa kereta Myvi ku. Dengan sekali pulasan, enjin bergetar tanda ghairah untuk memulakan hari pertama yang lewat. Dengan tenang aku pulas tengkuk stereng sampai mati, keretaku undurkan dan segera memecut kehadapan ke tempat kerja. Aku terus mencucuk plug audio speaker ke telefon bimbitku, aku menekan icon spotify di telefon ku dan bergetar speaker mendendangkan lagu-lagu sedih. Melayan perasaan.

Hati kananku membisik, "Jangan dilayan perasaan, kau nak pergi bekerja, bukan nak pergi menangis."

Tetapi hati kiriku menolak segala ceramah dari hati kiriku "Apa salahnya layan feeling sekejap, nanti kat tempat kerja kau relaks lah."

Perjalanan terasa jauh. Aku seperti tidak mahu berdepan dengan masalah aku, aku cuba lari. Tapi demi memikirkan kerjaya yang menanti dihadapan, aku teruskan. "

Rezeki Allah dah bagi, Allah dah pulangkan rezeki kau kerja kau, buat apa mahu lari lagi?" tersentak diriku mendengarkan ceramah pagi oleh hati kanan.

Sesampai di gate, aku menunggu giliran untuk masuk. Jam menunjukkan 8:51 pagi. Aku sudah lewat.

"Keletak keletuk keletak keletuk." aku terdengar bunyi hentakan kasut dari cuping telinga aku, badanku bergetar memberi isyarat supaya menoleh. Aku menoleh kebelakang. Dia! FR berjalan melintas aku dari belakang. Aku seperti sudah kenal bunyi tapak kasut dan gaya jalannya. Aku menoleh memandang dia sehingga kelibat dia sudah tidak kelihatan. Hati berdebar, tangan terketar. 

Sesudah tiba di ofis, aku disambut dengan sorakan dari rakan sekerja. 

"Epul, kenapa dah putih!" kata salah seorang dari rakan rapat ku. Aku terasa dihargai. Masih ada yang ingat aku, masih ada yang mahu bergurau senda denganku. 

Tapi hati berbelah bagi, aku mengintai dari jauh. Bertudung pink lembut, berbaju kemeja biru, aku kenal ni. Aku kenal. Aku hanya mampu mengintai dari jarak jauh kerana "Dekat di mata, jauh di hati."

Berdendang lagu Menanti Janji nyanyian Ronnie Hussein. Aku terkaku.

Seperti insan lain yang memulakan hari pertama, aku juga buntu. Dimana aku perlu mula? 
Dengan sedikit ceramah dari PM dan SPM aku, mereka memberi sedikit guide untuk aku mulakan kerja aku. Aku perlu berjalan sendiri untuk mengutip data-data tersebut. Bukan senang jadi aku, perlu memikirkan sekeliling, menggerakkan jentera mengikut planning, memastikan jalan yang ditutup tidak mengganggu kontraktor lain, yang bos aku mahukan hanya satu, kejayaan di dalam projek walau apa cara sekalipun. Dah memang kerjaya ni aku yang pilih, jadi aku perlu laksanakan mengikut kehendak dan memenuhi kriteria yang diperlukan. Tetapi, aku gembira, akhirnya aku dihadiahkan sebijik kereta toyota hilux, terima kasih Ya Allah. Aku bersyukur, dikembalikan kerja iaitu rezeki aku dan dihadiahkan pula kenderaan yang memang aku perlukan demi melaksanakan visi dan misi syarikat. Ceh!

"Kring kring" telefon aku berdering, panggilan dari rakan sekerja meminta dilakukan test tanah di kawasan site.

Hati aku tak fikir lain. Peluang. Peluang untuk aku berdepan dengan si dia. Biar sekecil-kecil peluang, ianya masih disebut peluang.


Jam 4 petang,
Aku bergegas ke ofis, mengambil sehelai dua RFI dan menulis segala isi penting untuk inspection tanah. Selesai menulis aku ke bilik dia.

"Cik F, saya ada satu RFI untuk awak. Test dah buat tadi di tempat sekian-sekian." kataku tenang.

Suasana sepi. Tiada jawapan ya atau tidak, aku melihat muka dia. Masih sama, tak berubah, tetap menggetarkan jiwa dan tulang rusuk aku. Hampir retak rusuk aku akibat getaran, terlalu kuat sehinggakan aku tidak dapat mengawal. Perasaan apa ni Ya Allah. Takpelah, dapat tengok sekejap dengan jarak yang dekat sudah memadai. Aku berlagak professional. Tenang. Itulah sikap aku yang kadang-kadang membunuh diri sendiri dan kadang-kala membantu diri agar tidak kekok.

Dalam hati banyak soalan yang aku ingin ajukan,

"Sihat?Puasa tak?Dah makan belum?Demam ke?Suara serak je?

Tapi aku sedar yang itu semua soalan bodoh yang aku sudah tahu jawapan. Buat apa aku bertanya lagi. Aku hanya mampu bertanya dalam hati. Moga wujudnya telepati antara kami. Aku hampa, tiada wujud telepati hati antara kami. Kecewa. Dengan lagak professional, aku berlalu dan keluar dari bilik tersebut. Kerana keadaan agak dingin dan tegang.

Jam menunjukkan tepat jam 5:15 pm

Aku bergegas ke kereta hilux, memulaskan punat kuasa kereta, dan aku berlalu pergi pulang ke rumah untuk persediaan berbuka puasa.

Hari ini, segalanya tenang, serabut, kekok, dingin, tegang, berdebar. Kuasa hati bercampur baur dengan segala emosi. Aku tenang memandu pulang. Tangan terasa ingin mencucuh api ke arah rokok, tapi belum masuk waktu berbuka, aku tenang. Berlalu pulang.

Adios.

p/s: Ketika hatimu terlalu berharap kepada seseorang maka Allah timpakan ke atas kamu pedihnya sebuah pengharapan, supaya kamu mengetahui bahawa Allah sangat mencemburui hati yang berharap selain Dia. Maka Allah menghalangimu dari perkara tersebut agar kamu kembali berharap kepada-Nya. (Imam Syafie)

Friday, May 26

Bukan Part 5

Aku rasa aku taknak tulis dah pasal F R Part 5, sebab kalau aku tulis lagi bermaksud aku masih lagi belum redha dengan apa yang berlaku dan cuba melawan takdir. Tiba masanya untuk aku teruskan perjalanan, di depan ada beribu lagi rahsia Allah nak bagi kat aku. Yang berlalu biarkan berlalu, jadikan teladan. Biar kita berdua je yang tahu kisah kita. Because,

yesterday is history, tomorrow is mystery. 

Ye dok?

Allah uji kita supaya kita kembali kepada-Nya sebab kita manusia (lemah) yang lalai dan selalu lupa kat Dia. 

Bila bahagia sikit, lupa Allah. Padahal kebahagiaan itu datang dari Dia.
Bila kaya sikit mula riak, menunjuk-nunjuk apa yang kita ada. Sedangkan rezeki itu datangnya dari Dia.

Aku nak kongsi sedikit cerita pasal rezeki dan kebahagiaan. Cerita sebenar, berlaku pada diri aku sendiri.

Aku, seorang yang berkerjaya, hidup sederhana, cukup-cukup makan. Alhamdulillah rezeki yang Allah bagi pada aku. Tetapi, aku sering lalai, lupa pada-Nya. Aku bukannya seorang Islam yang kuat imannya dan sering terjerumus ke lembah hina. Aku solat pun tunggang langgang. Tandanya aku lupa pada-Nya.

Satu hari, ujian datang menimpa diri aku. Lepas satu,satu ujian datang. Bak kata pepatah
"Sudah jatuh ditimpa tangga"

Allah tarik rezeki aku, Allah tarik kebahagiaan aku. 

Pertama, aku direhatkan dari bekerja selama sebulan tanpa gaji. Tanpa gaji, tanpa gaji. Pening kepala memikirkan macam mana aku nak hadapi bulan hadapan. Dengan minyak kereta, kereta nak kena servis, bil-bil dan segala komitmen aku siapa nak tanggung? Mak bapak? Tak mungkin aku akan menyusahkan mak bapak aku atas salah silap aku sendiri. Cukuplah berehat sebulan di rumah menghabiskan beras mak bapak, itu sudah cukup menyusahkan mereka.

Kedua, aku telah gagal dalam percintaan. Kebahagiaan itu milik Allah, dan aku telah menaruh harapan kepada tempat yang salah. Allah tarik kebahagiaan dari aku, aku putuskan hubungan aku dan FR. Kepala aku bertambah pusing. Bagaimana aku nak hadapi, nak berdepan dengan dia bila bekerja nanti. Sudah tentu segan dan malu. 

Allah uji aku dengan ujian pertama, tapi aku masih lagi lalai. Dia uji aku lagi dengan ujian kedua. Kedua dua ujian ini sangat berat untuk aku. Kerana Allah Maha Mengetahui, Dia mahukan aku kembali ke jalan yang benar. Kembali kepadaNya. Allah dah atur cantik dah hidup kita ni. Kenapa aku cakap cantik? Korang tengok ni.

Aku akan mula bekerja pada bulan Ramadhan, dimana bulan yang diwajibkan untuk semua umat Islam berpuasa. Alhamdulillah, kurang sikit pening aku. Aku hanya perlu belanjakan wang untuk berbuka. Cuba korang fikir kalau bukan bulan puasa? Lagi nazak hidup aku kan? Tentang komitmen tu, takpe. Bulan satu lagi, iaitu bulan Syawal, Insya Allah aku masih mampu membayar segalanya. Indah kan aturan Allah.

Tentang kebahagiaan itu, aku redha. Allah simpan segalanya untuk aku. Bukan untuk aku sorang malah korang jugak ada kejutan dari Allah. Siapa tak sukakan kejutan ye tak? Jadi, Allah nak bagi kejutan untuk aku. Kalau bukan sekarang, akan datang. So kita sebagai hamba-Nya jangan berputus asa sebab akan ada perkara yang baik untuk kita.

Bila kita redha, dengan secara automatiknya kita takkan berdendam dengan sesiapa pun. Kita redha, kita takkan rasa malu lagi dengan sesiapapun. Aku redha. Aku melepaskan kau FR kerana ianya adalah jalan yang terbaik untuk kita. Demi kebahagiaan kau dan juga aku. Mungkin bukan masa untuk aku berfoya foya, bercinta, bersayang sayang. Disebabkan aku meletakkan kau teratas, aku lupa pada Allah.

Jadi, sebelum aku menutup tirai cerita kali ni, aku memohon sepuluh jari meminta maaf pada kau FR. Aku memohon maaf atas segala perbuatan aku terhadap kau baik secara fizikal dan secara mental. Abang kau pun nasihat aku benda yang sama, jodoh tu kita tak payah nak pening kepala fikir. Sampai masa adalah. Kalau bukan dengan kau, dengan yang lain. Aku rasa tenang sikit hati aku bila aku dapat melepaskan kau secara terbuka. Jodoh kita hanya sementara saja. Aku harap korang korang yang baca blog aku ni tak payahlah susah hati kalau putus cinta ke, hilang kerja ke, ditimpa masalah ke, sebab Dia mahu kita kembali kepada-Nya. Insya Allah kalau kau tak putus asa dengan Allah, Allah akan membantumu kelak. 

p/s: Ingat, jangan sesekali buruk sangka dengan Allah. Segala yang terjadi pasti ada hikmah/kejutan untuk kita. Bulan Ramadhan dah dekat dah ni, so banyakkanlah amal dan jangan sesekali putus harapan kepada Allah SWT. Selamat Berpuasa!

Wednesday, May 24

F R Part 4

29 April, Melaka.

Kami bersama dalam perjalanan ke kenduri rakan satu ofis. Kami bergerak awal pagi dalam jam 9. Keadaan di dalam kereta tegang. Dingin.

Masing-masing membisu. Kami kurang bercakap, dia pun tidak tidur sepanjang perjalanan.
Aku mula membuat lawak bodoh aku. Ternyata, dia ketawa dan kami mula borak kosong. Nak pergi melaka nak cari baju melayu lah, beli baju raya lah, padahal pergi melaka nak pergi kenduri. Kejadah.

Aku mula tenung dia, dalam hati berkata "Makin hari aku tengok makin comel makin sayang pulak kat dia ni."

Pada mulanya aku tak tahu kenapa aku jatuh cinta padanya. Tidak dinafikan, aku ni memilih dan hanya memilih wanita yang cantik di mata aku.

Sebenarnya wanita idaman aku tinggi, slimfit, chinese look, pandai bergaya, sejuk mata memandang. Tapi aku bersyukur sebab ada dia, dia real dan bukannya fantasi. Wanita yang aku idamkan itu tak wujud, dia wujud.

Aku sekadar memandu dengan kelajuan 90-100 km/j. Aku tak berani bawak laju sebab aku bawak anak orang. Kalau aku solo rider memang aku pijak pedal tu sampai cecah lantai. Dia pun takut kalau aku bawak laju. Wei, myvi mana boleh pergi laju sangat. Tak stabil, kereta aku sekadar basic takda bodykit spring stock rim pulak matte black. Kah.

Masa tu dari selatan ke Melaka, ada 3 buah kereta yang pergi ke kenduri. Masing masing pecut laju tinggalkan aku. Aku bawak selamba je, gaya orang bercinta, itulah gaya pemanduanku. Kah. Sampai je kat Melaka, korang taulah makan kat kenduri macam mana, takkanlah aku nak cerita makan bersuap makan beradab belaka kan. Kami maintain, tak makan bersuap pun. Sekadar sweet sikit sikit jenis yang tidak menonjol. Actually aku ada satu sikap buruk, suka menonjol, suka menunjuk. Tak elok sangat perangai tu. Aku sarankan korang semua jauhi sikap macam tu.

Lepas je kenduri tu, kami terus pergi berjalan kat Melaka. Pergi kat kawasan River Park yang ada boat pusing pusing keliling Sungai Melaka. Kami tak naik boat pun, sekadar berjalan mencuci mata. Alang-alang dekat dengan Jonker Walk tu, situ macam-macam ada. Kalau berjalan kaki memang tak rasa penat. Bagi perempuan aku sarankan bawaklah kasut yang tapak flat tu. Kalau tak comfirm melecet nya.

Selesai berjalan, kami kepenatan. Aku menghantar dia ke hotelnya, madrasah tahfiz. Aku pun pulang ke hotel aku, rehat sebentar, cuci badan dan bersiap sedia untuk makan malam. Malam tu kami ke Food Truck Ayer Keroh. Memang meriah, tapi aku tak tahu nak makan apa. Semuanya makanan ringan, junk food. Kalau nak pergi sekadar makan ringan boleh la. Aku tanpa segan silu mengorder ayam gunting (kat tempat lain pun berlambak) tapi memandangkan teringin la jugak. Dia mengorder Roti John Cheese Meleleh lah Sangat. Biasa. Tak padu pun macam kat Air Tawar 5 tu.

Lepas makan, kami berjalan di Jonker Walk. Siang tadi takda apa pun kat Jonker Walk ni. Malam je pernuh dengan manusia. Mula la mata melilau membelanjakan wang sebaik mungkin. Aku sekadar membeli gelang tangan lelaki. Aku memang suka pakai gelang, lebih-lebih lagi gelang tangan kayu tu. Tapi kat situ takde, ataupun aku tak pandai cari.

Lepak kejap kat depan Hard Rock. Penuh manusia membonceng basikal elektrik tu. Kami pun teruja dan jakun, nak naik jugak. Dengan menggunakan wang RM25 untuk setengah jam, kami meronda keliling A Famosa tersebut. Yang tak boleh blah nye masing masing dengan berat average 60-90 kg membonceng basikal tersebut mendaki bukit. Memang tak lepas lah jawabnya kena tolak. Masing masing gemok. haha
Tapi seronok, puas, walaupun hanya setengah jam. Lama setengah jam tu bila bersama dia. Tak penat sebab kau pulas je throttle tu berjalan la basikal tu. Dengan kelajuan 15km/j seksa basikal tu dengan keberatan kami.

Selesai satu malam, kami pulang ke hotel masing masing.

Bersambung....

p/s: Betapa seronoknya bila kau dapat spent time whole day dengan orang yang kau sayang. Walau sekejap, aku rindu situasi itu, rindukan kita.

Adios.

Belum baca Part 1? Part 2? Part 3?

Monday, May 22

F R Part 3

Seingat aku, pernah sekali kami bergaduh besar. Eventhough bagi aku perkara tu kecik je, tapi bagi wanita, ianya besar. 

Kami bergaduh, 
Pada suatu hari, sedang si dia membelek belek telefon pintar aku, dia ternampak something kat instagram, aku pandang dia, dia pandang aku. Selang beberapa saat, dia menjeling dengan muka palat.

"Ha sudah, mati aku!" bisik aku dalam hati

Kemudian, dia terus tarik muka. Terus tak nak pandang aku, taknak bercakap dengan aku. Puas aku pujuk, buat muka kelakar, namun langsung dia tidak mengendahkan aku.

Sememangnya dalam diri aku ni memang wujudnya panas baran dan ego. Lalu, bila segala pujuk rayu aku tidak diendahkan. Aku sebagai seorang lelaki tercabar, dan mula mengorak langkah. Aku buka pintu kereta, kemudian tutup enjin kereta, dan aku tutup pintu kereta. Aku tinggalkan dia di dalam kereta bersendirian.

Aku mencucuh sebatang rokok. Bagi menghilangkan rasa panas dalam hati. Aku kalau marah memang akan cuba berjauhan ataupun lari. Bukan lari dari masalah, sekadar nak menyejukkan hati. Sambil sambil aku menghembus asap rokok dua tiga pam, sekumpulan salegirls datang approach aku. Mereka dari CWA dan apabila aku ternampak CWA mula lah aku buat buat pandai, buat buat tahu, buat buat hero.

"Ouh cik dari CWA ye, saya dah buat dah CWA sejak 2013 lagi cik." kataku dengan lagaknya.

Sememangnya, perkara itu bukan sahaja menyejukkan si dia, tapi bagai menambah RON97 ke api yang marak. Dia semakin bengang dan marah dengan aku.

Semasa dalam perjalanan dari parking ke ofis, dia langsung tidak mempedulikan aku. Aku nampak, matanya berkaca.

"Ha sudah, mati aku kali ni." bisik aku sekali lagi.

Dia pernah cakap "Saya takut, nanti kita dah kahwin awak cari lain."
Dia kurang konfiden dengan aku, yelah, sebab dah banyak cerita dia dengar pasal aku, aku kaki betina lah, kuat mengayat lah, buaya darat lah, playboylah, kasanova lah.

Berbalik kepada cerita kami bergaduh tu,
Seharian dia tak tegur aku, pelbagai text aku hantar tapi dia tak layan. Aku gelisah. Aku tak boleh, aku tak boleh. Aku tak duduk diam. Habis segala meja aku berselerak. Aku takut kehilangan dia, kehilangan kepercayaan dari dia.

Puas aku bertanyakan rakan rakan rapat dia, macam mana nak pujuk dia, macam mana nak menang balik kepercayaan tu.

Petang tu, selesai waktu kerja, kami pulang. Tapi tidak pulang bersama, dia pulang dengan rakan serumah dia, aku pulang dengan kereta aku sendiri. Sampai di perkarangan rumah, aku nampak dia. Dia langsung tak tengok aku, muka ketat, muka kecewa, 100% kekecewaan terpampang pada dahi dia.

Aku tak tahu apa lagi perlu aku buat. Lalu aku pulang ke rumah aku. Dengan harapan, dingin malam dapat menyejukkan hatinya yang sedang mendidih kepanasan.

Malamnya, dengan harapan boleh bersua muka dan menerangkan segalanya, aku pergi ke rumahnya. Tunggu dan tunggu. Tidak terpacul. Aku kesedihan, terasa seperti mak aku sedang memotong bawang di dapur, pedih habuk masuk ke mata. Memang, aku ni sentimental orangnya, emosi, cengeng. Tapi aku tahan.

Dan aku meninggalkan perkarangan rumahnya dan meletakkan Kinder Bueno dan NyamNyam (last stock di kedai Pak Abu) berserta sekeping nota ringkas berbunyi "I'm so soryy 😟"

*nyamnyam jenis celup dengan coklat pastu celup biji biji dia, bukan jenis biskut tu"

Malam tersebut, aku tak dapat melelapkan mata. Aku masih terfikirkan tentang dia. Lebih kurang jam 3 pagi baru aku terlelap. Dan setiap jam aku terjaga kerana termimpikan dia.

"Ring! Ring! Ring! Ring!" alarmku berbunyi menunjukkan jam 5 pagi.

Bergegas aku bangun menyiapkan sarapan, satu untuk aku, satu untuk dia. Dengan harapan dapat melembutkan hati dia seperti lembutnya sekeping roti. Pada hari tersebut, aku keluar rumah awal ke tempat kerja. Sebelum bergerak, aku sempat menghantar satu pesanan ringkas berbunyi "GOOD MORNING!"

Aku meletakkan sarapan pagi di dalam kereta Kembara miliknya. Sekeping sandwich dan sebuah epal hijau yang dipotong potong kecil. Disebabkan dia pakai braces, dia takleh makan epal sebijik, harus dipotong-potong.

Pada hari tersebut, 8 April, bersamaan hari Sabtu. Aku meneruskan kerja aku seperti biasa. Aku merasakan yang dia ni bukan jenis yang mahu dipujuk. Jenis yang akan sejuk hati secara automatik. Langsung satu pun text aku tidak menghantar kepadanya kecuali pagi tu. Aku tak mahu merosakkan lagi mood dia.

Sesungguhnya hari tersebut sememangnya sibuk dari hari hari biasa. Jika aku mahu menghalalkan dia, kenapa mesti aku tidak fokus dengan kerja kan? Aku positif, aku perlu bekerja bersungguh sungguh, demi masa depan aku, dan dia. Hari tu memang effisyen gile kerja aku. *berlagak*

Waktu rehat,
Aku kembali ke ofis dari tapak binaan. Aku sengaja lalu di depan ofis dia. Aku ternampak, plastik roti, dan epal hijau. Masih tidak disentuh.

"Puasa agaknya." kataku dalam hati.

Sambil-sambil tu tangan menaip satu text ringkas.

"Awak puasa ke arini?" tanyaku sinis
"TAK" jawab dia ringkas.

Terus aku pergi ke kedai runcit berdekatan dengan ofis, aku beli milo 3 in 1 dan aku bancuh. Aku letakkan di meja dia. Aku pesan "Minum milo tu."

Dia suka sangat milo, kalau nak bancuh tu buat dua stick bagi pekat sikit, kaw kaw.

Selang beberapa minit, ofis blackout. Kegelapan. Aku dahla tengah lapar, aku pergi ke pantry, ambil makanan dan aku makan, sendirian.

"Ding!" Tiba-tiba telefon aku berbunyi tanda ada pesanan ringkas masuk. Ada satu pesanan yang sangat-sangat ringkas berbunyi "Kat mane, datang kjap".

Lubang di hati terus rasa ditampal dengan concrete C40. Ditambus pula dengan tanah tanah yang subur. Lalu tumbuhlah bunga di atasnya serta merta. Kelihatan seekor rama-rama sedang mengelilingi bunga tersebut.

Hatiku melonjak gembira. She's back! She's back! kataku keriangan dalam hati.



Dengan muka huduh begini mampu ke mencairkan mana mana wanita?


Adios.

p/s: Kepada kaum lelaki semua, padam segala whatsapp antara kau dengan perempuan lain selain dia walaupun text tersebut dah lama dah lapuk. Perempuan ni sensitif tau. Take note. Jangan pandang remeh segala apa yang dia persoalkan. Take it serious.

Belum baca Part 1? Part 2?

Sunday, May 21

F R Part 2

17 March, Jumaat

Hari pertama kami keluar date. Masa tu dia tak sihat, dia demam. Jadi malamnya aku bawa dia ke klinik dan alang alang dah keluar, aku bawak dia pergi makan. Malam tersebut kami curi curi keluar, tak ingin digosipkan dengan budak ofis. Ingat lagi, tempat pertama kami dating, kat Aroi Thai. Tempat cantik, bawah pokok, disinari pula dengan lampu neon kuning. Sebenarnya kitorang tak makan sangat pun. Sengaja order banyak banyak, boleh lepak lama sikit dengan dia sebab dia cakap dia ada something nak cerita kat aku. Aku pun ada something nak cerita kat dia.

Pada mulanya, dia terkejut kerana aku letak surat resign. Dan aku juga terdengar desas desus dia nak berkahwin tahun depan. Tapi malam itu, kami merungkai segalanya. Aku sebenarnya dah tarik surat berhenti dan dia pula menerangkan pada aku yang dia tak jadi kahwin tahun depan.

Hati ini bagai bergolak dengan bunga bunga cinta. Terasa gembira bila mendengar perkara tersebut. Dia menceritakan pada aku yang dia tak jadi nak kahwin kerana kekasih hatinya tidak sudi bertunang dengannya. Kekasihnya di Kuala Lumpur dan dia di selatan tanah air. Setelah mendengar segalanya, aku mengorak langkah lebih berani.

"Kalau kekasih awak tak serius dengan awak, saya nak serius dengan awak." kata aku padanya.

"Awak serius?" tanya dia padaku

"Awak tak main main kan?" dia bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian


Malam tersebut, masing masing hati berbunga. Dari riak air mukanya sudah menunjukkan yang dia juga suka padaku. Dan masa ni dia dah declare yang dia single.

"Kali ni aku tak bertepuk sebelah tangan, ada can ni!" aku membisikkan dalam hatiku.

Hatiku melonjak gembira. Kebetulan juga masa tu ada seekor teddy bear kecil yang sedap dipeluk berada di dalam kereta Myviku. Dia ingin membawanya pulang bersamanya. Aku merelakannya. 

"Ambil lah, kalau rindu kat kita peluk dia." kataku dengan nada sinis

Dan bermula lah hari hari yang indah buat Wong Saiful.

Bersambung...

Nantikan part 3 pulak. hmmmm.

From Far With Love,
Wong Saiful

Adios.

p/s: Apa yang aku boleh ceritakan kat sini,dia ni seorang yang caring, sukakan suasana pantai, kuat merajuk, ada angin dia tapi senang je sejuk, bagi dia kinder bueno ngan nyam nyam. kahkah.

BELUM BACA PART 1?

Saturday, May 20

F R Part 1

F R,

Dia mula bekerja pada 1 Februari. Masa tu aku hanya sempat berkenalan hanya dengan nama dan muka saja semasa sesi perkenalan. Masa tu juga aku hanya dapat tengok muka dia sekali sahaja dan kemudiannya dia menghilangkan diri selama 2 minggu. Aku tertanya tanya.

Aku mula ke tapak binaan pada penghujung bulan Februari bersama dia. Dengan menaiki Perodua Kembara milik syarikat yang ketika itu masih lagi berfungsi dengan baik. Pelbagai adegan ajar mengajar, yelah aku antara orang yang dah lama di tapak berkenaan. Dia merupakan pentadbir ujikaji tanah dan aku pengendalinya. Tak silap aku tarikhnya 28th Februari.

Pada tarikh yang sama, dia perlu pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Dia pulang ke Kuala Lumpur menaiki kapal terbang. Pada petangnya selepas tamat waktu bekerja, aku menghantarnya ke lapangan terbang. Dalam perjalanan, kami berborak, berkenalan, terasa ingin tahu tentang hidupnya. Perjalanan yang mengambil masa selama satu jam itu diisi dengan pembuka bicara antara kami berdua. Dia mengenalkan dirinya dan sebaliknya.

Setibanya di lapangan terbang, selesai daftar masuk, aku menghantarnya ke balai pelepasan dan selepas itu, aku berlalu pergi. Dan kapalnya selamat mendarat di Kuala Lumpur selang sejam kemudian. Waktu itu, memang ingin bertanyakan "Dah sampai ke belum?" tapi sifat ego aku tinggi ketika itu dan mengendahkan saja kata hati.

Setelah seminggu berlalu

Aku mula menghantar satu pesanan ringkas kepadanya ingin berbincang tentang hal kerja. Dari perbualan kami di situ aku menganggap, aku tiada peluang untuk mengenali dia dengan lebih mendalam. Kerana perbualan kami hanya sekadar perbualan rakan sekerja dan tidak lebih dari itu.

Beberapa hari kemudian, aku mencuba lagi menghantar pesanan ringkas. Kali ini bukan hal kerja. Aku mula mengatur langkah untuk mendekati dia. Dan Alhamdulillah masa tu, respon dia agak baik. Masa tu aku nak turun ke bandar, cucuk langit. Masa tu dia merungut kerana muka dah gelap disebabkan kerap turun ke tapak binaan. Dan aku mengejeknya si gemuk, hidung jambu air,gigi besi. Lucu.

Ingat lagi masa tu, disebabkan penyakit yang dihadapi, dia tak boleh makan pedas. Ketika waktu rehat tengah hari, aku bungkuskan dia nasi,ayam goreng, dan kuah singgang. Maaflah, kicap dah habis. Dan malamnya, dia OT, tapi aku tidak kerana aku ada agenda lain. Malam tu jugak aku tahu dia bad mood. Hmmm.

On 14th March, aku mula rapat dengan dia. Pergi point bersama, jadikan peneman, dan petangnya kami pulang bersama. Menaiki Perodua Kembara. Banyak jasa Kembara tu.

Sejak itu, kami mula berbalas balas pesanan ringkas, hampir setiap hari setiap masa. Aku mula buatkan sarapan pagi untuk dia. Sarapan berkhasiat Chef Aduu. Dan pada waktu rehat, aku makan masakan dia. Dia masakkan lebih untuk aku. Nasi Goreng. Sedap, serius sedap..


Bersambung...

p/s: kalau aku nak cerita sebijik sebijik memang lepas ni aku boleh buat buku pasal dia ni. hehe

From Far With Love,
Saiful

Tuesday, May 16

Redha

Redha - Menerima takdir, menerima segala kenyataan yang terjadi pada diri sendiri, pada sekeliling, pada keluarga, dan pada hati.

Semalam, dengan segala hormatnya aku melepaskan kau. Kalau dah pilihan family kau, apa aku boleh buat? Siapa aku di mata family kau? Aku bukan siapa siapa kalau nak dibandingkan dengan dia di mata family kau. Kalau itu yang kau mahukan, aku rela.

Dan maafkan aku sebab sengaja buat kau benci aku. Ya, memang aku sengaja. Supaya kau boleh lupakan aku, dan aku boleh move on. Maafkan aku jugak sebab lepas ni aku dah tak boleh nak take care pasal kau, sebab aku harus take care hati aku sendiri dulu.

Hati sedih, tapi hati harus kuat untuk menghadapi semua dugaan ini. Satu je aku nak pesan pada kau, tetapkan pendirian tu. Jangan goyah hati tu.

Aku tahu aku bukan orang yang baik, bukan yang sempurna. Tapi aku ada hati dan perasaan, itu sudah cukup buat aku jadi sempurna. Aku perlu jaga hati aku dulu, sebelum aku jaga hati kau.

"There be no sunlight, if I lose you baby"
"There be no clear sky, if I lose you baby"
"Just like the clouds, my eyes will do the same"
"If you walk away, everyday it will rain"
"I'll never be your mother favorite."

Petikan dari lagu It will rain - Bruno Mars.

Memang hati tengah menangis. Menangis sebab tiada lagi kau di sisi.
Memang hati tengah kecewa. Kecewa dengan apa yang berlaku di antara kita.
Memang hati tengah marah. Marah dengan sikap kau yang tak tetap pendirian.
Memang hati tetap sayang. Kerana sayang, aku lepaskan kau pergi.

Hati juga perlu redha. Aku tahu ini semua ujian, buat aku, buat kau, dan buat orang sekeliling. Allah uji kita kerana kita mampu hadapinya.

Adios.

Monday, May 15

15 Mei

Pagi tadi aku dikejutkan dengan satu mesej berbunyi "awak kita kawan je ah".
Luluh hati aku bila aku baca ayat ni yang datangnya dari orang yang aku sayang. Terkilan. Speechless.

Actually, aku kenal dia ni tak lama pun. Kami berkenalan dan sama sama jatuh hati.

Tapi, kau sendiri tahu lah macam mana aku sayang kau. Tak ternilai oleh kata kata.

Adios.